Sunday, April 06, 2008

Rosma & Khai Kahwin Hujung April 2008

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Umum sudah mengetahui pasangan artis yang juga bintang Akademi Fantasia (AF) musim pertama, Khai dan Rosma sedang hangat melayari bahtera percintaan. Bunga bahagia itu dapat dilihat ketika mereka di dalam AF lagi. Malah menguatkan lagi gosip tersebut apabila mereka sering bersama di mana-mana majlis serta acara hiburan.

Malangnya setiap kali diminta mengesahkan sejauh manakah hubungan itu terjalin, jawapan selamat yang diberi, “Kami sekadar kawan rapat.”

Biasalah, tidak semua artis itu bersedia untuk membuat pengakuan mengenai kisah cinta mereka walaupun hubungan itu memang tidak boleh dirahsiakan lagi. Sama juga kesnya seperti Linda Onn dan Fahrin Ahmad yang tak habis-habis menafikan gosip percintaan mereka sedangkan hubungan itu sudah dapat diagak oleh orang ramai.

Tapi apa nak buat, ia menjadi hak individu untuk menceritakannya ataupun tidak. Selasa lalu semasa mengadakan sesi fotografi dengan Pancaindera, segala persoalan mengenai hubungan Khai dan Rosma akhirnya terjawab sudah.

Saya minta kedua pasangan ini menceritakan dengan jujur. Maklum sajalah, mereka tentunya naik bosan apabila sering diasak dengan soalan yang sama. Wartawan apatah lagi, kadangkala boleh hilang sabar apabila jawapan yang diberi itu tidak memuaskan hati.

“Ya bang, kami nak kahwin.” Akhirnya jawapan ringkas dan padat itu keluar daripada mulut Khai yang menamatkan segala tanda tanya status sebenar hubungan mereka selama ini.

Saya berkata, ke jenjang pelamin juga mereka selepas cuba menyembunyikan kisah cinta yang benar-benar berlaku itu.



Ditemani pengurus yang agak kecoh mulutnya – Fizi, pemilik nama sebenar Khairul Nizam Mohamad, 29, dan Rosmayati Sidik, 23, ini bersedia untuk menceritakan segala teka-teki mengenai hubungan mereka.

* Bercinta sejak di AF1

Rasa-rasanya peminat AF1 tentu masih mengingati detik-detik ketika pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi mengumumkan Rosma merupakan peserta minggu keenam yang terpaksa menarik keluar beg yang digeruni dalam program AF itu.

Ingat atau tidak antara peserta lelaki yang tidak dapat menahan gelojak rasa akibat kehilangan teman tersayang itu ialah Khai.

Ketika pengumuman itu dibuat, Khai bagaikan insan yang hilang arah apabila dia tidak mampu mengawal perasaan sedihnya.

Rupa-rupanya kesedihan dan titisan air mata Khai itu tersimpan maknanya kerana kedua mereka mempunyai perasaan lebih dari seorang kawan.

“Saya tak dapat bayangkan begitu sedih apabila Rosma hilang dari pandangan mata saya di dalam AF ketika itu.

“Hubungan kami sememangnya terjalin selepas beberapa minggu kami bersama di dalam akademi sehingga kami dikesan sebagai peserta yang paling rapat,” kata Khai mengimbas kisah tahun 2003 itu.

Meneruskan hubungan yang dibina di dalam AF itu lagi, Khai dan Rosma akhirnya memaklumkan kepada keluarga masing-masing tentang hubungan mereka.

Bukan sandiwara seperti babak drama pentas rancangan itu, kedua mereka menyatakan kepada keluarga masing-masing hati mereka sebenarnya sudah dicuri.

Sehinggalah selepas dua tahun kemesraan itu terjalin, Rosma dengan beraninya mengajak Khai bertandang ke rumahnya di Kuantan bersama keluarga.

Hendak dijadikan cerita ketika melangkah masuk ke rumah Rosma, ibu Khai agak terkejut salah seorang yang ada di dalam rumah tersebut merupakan kaum keluarga mereka juga.

“Selepas sesi ‘soal-siasat’ dibuat, tidak sangka kami sebenarnya ada ikatan persaudaraan. Hubungan kekeluargaan itu telah mengeratkan lagi hubungan kami,” jelas Khai.

* Maaf, terpaksa berahsia

Tak dapat dinafikan ramai yang hampir nak naik angin apabila Khai dan Rosma asyik menafikan mereka sebenarnya bercinta. Kata Rosma pula, mereka terpaksa berbuat demikian kerana terikat dengan syarat keluarga yang tidak mahu kisah cinta itu terlalu digembar-gemburkan di dalam media.

Tidak sedikit pun berniat untuk menipu tetapi dalam hal ini hati keluarga hendaklah dijaga sekiranya mereka benar-benar ingin melihat hubungan itu berjalan dan berakhir dengan baik.

“Keluarga kami awal-awal lagi berpesan jangan terlalu ghairah untuk bercerita mengenai hubungan sekiranya tiada apa-apa kaitan. Bagi menghormati kehendak keluarga Khai dan saya, kami terpaksa memenuhi permintaan itu.

“Dan hari ini kami berdua ingin memohon maaf seandainya tindakan itu menimbulkan rasa yang tak selesa dan kurang senang semua pihak,” ujar Rosma.

Apa-apa pun yang penting mereka mengotakan janji selama ini iaitu memaklumkan kepada umum apabila sampai masanya. Dan hari ini masa yang dijanjikan itu sudah tiba dan mereka bersedia untuk menjelaskan yang mereka akan menamatkan zaman bujang tidak lama lagi.

* Nikah di Masjid Putrajaya

Saya bertanya kepada mereka bilakah tarikh keramat itu? Sambil tersenyum Rosma menyerahkan kepada bakal suaminya untuk menjawab soalan itu.

Mungkin terbawa-terbawa dengan kejutan seperti yang sentiasa berlaku di dalam AF, kedua mereka masih mahu berahsia mengenai tarikh istimewa bilakah mereka akan diijabkabulkan.

Kata Khai, bukan untuk menyusahkan semua pihak tetapi dia mahu berlaku adil iaitu biarlah tarikh tersebut diketahui ketika kad-kad undangan perkahwinan diedarkan kepada jemputan dan pihak media pada hari Rabu ini.

Bagaimanapun selepas didesak akhirnya kata Khai, mereka akan disatukan sebagai suami isteri dalam tempoh dua minggu sahaja lagi.

“Hari Rabu ini kad-kad undangan akan diberikan kepada jemputan dan biarlah mereka tahu pada hari itu tarikh istimewa perkahwinan kami,” tambah Khai yang tersenyum tatkala saya meneka adakah tarikh itu 26 April akan datang?

Sudah memilih lokasi mengadakan majlis berkenaan, Masjid Putrajaya menjadi pilihan untuk mereka meraikan majlis pertunangan dan juga upacara akad nikah.

Mudah mengadakan dua majlis berkenaan serentak, kata Khai, mereka akan bersanding di sebuah dewan di Kuala Lumpur sehari selepas itu dan konsep kontemporari moden menjadi pilihan.

“Insya-Allah selepas majlis persandingan tersebut kami akan mengadakan sidang media untuk mengumumkan mengenai hantaran, kos majlis perkahwinan, destinasi berbulan madu dan kisah cinta yang menjadi rahsia kami selama ini,” ujar Khai.

Gara-gara ‘kad kahwin’

Keputusan untuk mendirikan perkahwinan dibuat pada hujung tahun lalu ketika forum di Internet menyiarkan gambar kad perkahwinan yang super impose kononnya kedua mereka sudah mengedarkan kad itu kepada umum.

Peristiwa itu benar-benar membuatkan Rosma dan Khai kurang senang kerana ramai pihak yang terpengaruh dengan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut sehingga mereka dituduh cuba menyembunyikan perkara yang baik.

Semasa menerima berita tersebut, mereka telah bertemu di sebuah kafe untuk membincangkannya sehinggalah terkeluar daripada mulut Khai lebih baik mereka berkahwin untuk mengelak pelbagai gosip dan andaian tidak benar dilemparkan.

Akhirnya selepas dimaklumkan kepada keluarga, persetujuan terus dicapai apabila mereka memilih bulan April ini sebagai tarikh terindah yang akan menjadi kenangan buat selama-lamanya.

Cabaran dalam bercinta

Adat bercinta sama seperti air di lautan yang ada pasang surutnya. Tidak menafikan lima tahun bahtera cinta itu dibina pelbagai dugaan turut mereka hadapi.

Bagaimanapun syukurlah dalam tempoh ujian itu, mereka dapat menempuh hubungan tersebut dengan sebaik mungkin.

“Bohonglah kalau kami katakan selama bercinta tak ada masalah yang berlaku tetapi alhamdulillah kami dapat mengatasinya dengan sebaik mungkin,” kata Rosma.

Bagaimanapun sesuatu yang menyebabkan Rosma terpikat kepada Khai kerana jejaka itu berjaya mengubah hidup Rosma daripada seorang yang panas baran kepada gadis yang lembut hati.

Banyak bersabar selama hubungan mereka itu terjalin, ujar Khai, ia merupakan kunci kejayaan cinta mereka.

“Sifat saya agak pendiam tetapi dalam hubungan ini banyak benda yang saya lakukan untuk kebaikan Rosma. Syukurlah dalam ramai kawan, dia mudah mendengar cakap saya sehinggalah dia berjaya membuang perasaan panas barannya itu,” terang Khai.

Bagi Rosma pula, sikap tanggungjawab Khai sejak di dalam AF lagi membuatkan dia begitu tertarik dengan jejaka itu sehingga membenihkan perasaan sayang.

Malah mereka bersyukur kerana cinta yang tersemai gara-gara Akademi Fantasia itu akhirnya membawa ke jenjang pelamin. Apa yang diharapkan pada perkahwinan itu agar kedua-dua mereka memperoleh kasih sayang sepenuhnya dan mahligai yang akan dibina beberapa hari saja lagi itu akan kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.

SMK Sri Aman, Kuala Lumpur - Pom Pom Girls

How do POM POM GIRL SQUAD at your school looks like? Can we call them real cheerleaders?