Sunday, August 20, 2006


Siti bersumpah tidak rampas Datuk K
15-08-2006 09:03:57 PM
Oleh RADIN SRI GHAZALI (Hmetro)
KUALA LUMPUR: "Siti bukan punca kami bercerai," tegas Datuk Khalid Mohamad Jiwa sebagai menangkis cakap-cakap yang menuduh penyanyi tersohor itu perampas suami orang. "Kami menjalin hubungan setahun selepas saya bercerai," jelas ahli perniagaan 49 tahun itu yang turut mengakui bahawa beliau dan bekas isterinya pernah bercerai pada 1998 namun rujuk tiga bulan kemudian.
Bagi Siti Nurhaliza Tarudin pula, pengalaman dicap sebagai perampas suami orang amat menyakitkan.
"Demi Allah, saya tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Datuk ketika dia masih berkahwin," tegasnya penuh perasaan kepada puluhan pengamal media di majlis ramah mesra bersama Siti Nurhaliza dan Datuk K di Seri Pentas dekat sini hari ini.
"Sila tanya pihak Jawi serta Mahkamah Syariah untuk menyahihkan kenyataan ini," sampuk Khalid sambil melahirkan keyakinan bahawa perkahwinannya kali ini akan berkekalan.
"Saya pernah gagal (dalam perkahwinan) sekali, saya tidak mahu gagal untuk kali kedua," katanya.
Datuk K melafazkan talak terhadap Tengku Zawiyah Tengku Izham pada 1 Febuari 2004 di rumah mereka di Bukit Antarabangsa. Pasangan itu bagaimanapun bercerai secara rasmi pada 12 Mac 2005.
Siti juga menafikan desas-desus bahawa dia rapat dengan janda bakal suaminya yang berusia 43 tahun itu.
"Saya pernah bertemu hanya beberapa kali dengan Tengku. Kami tidak rapat," katanya, sambil menyangkal dakwaan bahawa dia memanggil Tengku Zawiyah "mummy".
Berikutan laporan akhbar hari ini yang menyebut perasaan Tengku Zawiyah terguris oleh kenyataan Siti sebelum ini, penyanyi itu secara terbuka menyatakan permohonan maafnya.
"Saya memohon maaf kepada Tengku jika kata-kata saya menyinggung perasaannya pada sidang akhbar yang lalu (ketika mengumumkan perkahwinan mereka).
"Saya tidak bermaksud untuk mengambil tugasnya sebagai seorang ibu (kepada anak-anak Khalid dengan Tengku Zawiyah) malah niat saya adalah untuk menolong Datuk memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak mereka," katanya.
Tiga daripada empat orang anak Khalid dijangka tidak akan menghadiri majlis perkahwinan mereka. Mohd Adib, 16, dan Mohd Aazief, 8, bakal menemani Tengku Zawiyah melawat abang sulung mereka Mohd Anas, 19, yang kini menuntut di Australia.
"Jauh di sudut hati, mereka mahu menghadiri perkahwinan kami namun hati emak perlu dijaga. Saya tidak melarang dan mungkin hanya seorang (Mohd Ashraf, 14) yang akan hadir," ujar Khalid, yang turut bertegas bahawa anak-anaknya tidak pernah menentang sama sekali perhubungannya dengan Siti.
"Jika mereka tidak bersetuju dengan memberi alasan yang kukuh, saya mungkin tidak akan mengahwini Siti tetapi kesemua mereka telahpun merestui perhubungan ini," katanya.
Beliau juga "menegur" beberapa laporan media yang menurutnya boleh merosakkan tanggapan masyarakat terhadapnya.
Katanya, gaya penulisan beberapa rencana membayangkan seolah-olah beliau riak, angkuh dan tamak.
"Saya tidaklah kaya sangat.
"Malah, kos perkahwinan kami tidak sampai sejuta ringgit pun. Hampir kesemua barangan serta persiapan perkahwinan kami ditaja orang," ujar Khalid yang begitu kecewa dengan sesetengah pihak yang menyiarkan artikel mengenai perbelanjaan perkahwinan yang berjumlah RM12 juta tanpa usul periksa.
Pasangan itu juga merayu kepada pihak media supaya berhenti "bertanding" sesama sendiri untuk menyiarkan berita sensasi mengenai mereka.
"Pertimbangkanlah perasaan kami kerana majlis perkahwinan kami semakin hampir," rayu mereka.

Saturday, August 19, 2006

Majlis Lebih Dari Satu...

Majlis yang lebih daripada satu perkahwinan untuk Siti Nurhaliza
KUALA LUMPUR: Siapa sangka perkahwinan seorang gadis yang pertama kali menyanyi pada usia 12 tahun di tempat kelahirannya, Kuala Lipis, akan menjadi "Wedding of the Year" yang dinanti-nantikan selama ini.
Namun, itulah yang akan berlaku kepada penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin, 27, yang akan diijabkabulkan dengan Datuk Khalid Muhamad Jiwa, 47, seorang ahli perniagaan, Isnin ini.
Malah, detik-detik bahagia penyanyi yang menjadi kesayangan ramai sejak 11 tahun lalu itu akan dikongsi lebih 26 juta rakyat negara ini apabila TV3 bakal menyiarkan secara langsung perkahwinan mereka di kaca televisyen.
Persoalannya apa yang istimewa tentang Siti Nurhaliza sehingga stesen TV itu mendapatkan hak siaran eksklusif bagi menyiarkan majlis perkahwinan artis itu?
"Siti mempunyai faktor tertentu yang menyebabkan sistem sosial di Malaysia menerimanya sebagai 'public figure' yang mempunyai jangkauan merentasi status bangsa, umur, pendidikan dan kelas masyarakat," kata pensyarah penyiaran dan komunikasi massa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Asiah Sarji kepada Bernama di sini. Dr Asiah berkata penerimaan masyarakat terhadap Siti kerana artis itu telah memenuhi jangkaan mereka yang merentasi perkahwinan golongan kerabat diraja atau individu berpengaruh (seperti ahli politik) yang hanya memberikan kesan langsung kepada kelas sosial tertentu.
"Faktor Siti Nurhaliza itu sendiri merentasi segenap lapisan masyarakat," katanya sambil menjelaskan penerimaan Siti adalah berdasarkan kepada tingkah laku, suara, tutur kata dan perwatakannya yang disenangi ramai.
Katanya setiap ahli masyarakat merasakan bahawa Siti milik masyarakat Malaysia, yang layak untuk mendapat perhatian dengan fenomena yang berlaku sekarang, dan diterima walau ke mana sahaja artis itu pergi.
Sebelum ini hanya perkahwinan penyanyi yang juga pelakon, Ziana Zain dan Erra Fazira yang diiktiraf sebagai "Wedding of the Year", namun aura perkahwinan Siti-Datuk K lebih hebat apabila hampir setiap hari ada sahaja bahan yang dipaparkan media sejak 17 Julai lalu (tarikh Siti mengumumkan beliau akan berkahwin).
Majlis akad nikah pasangan itu akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 21 Ogos diikuti dengan dua majlis persandingan iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 28 Ogos dan di Kuala Lipis pada 3 Sept. Berbanding selebriti lain yang diukur berdasarkan populariti mereka, Dr Asiah berkata Siti dianggap sebagai "ahli masyarakat" di mana setiap kejayaan beliau dikongsi dan dirasai masyarakat.
Justeru, beliau tidak hairan apabila kira-kira 1,200 jemputan tetamu khas yang terdiri daripada rakan artis, selebriti dari dalam dan luar negara akan menyerikan majlis perkahwinan penyanyi itu.
Katanya faktor "kebiasaan" artis berbintang Capricorn itu juga menyumbang kepada penerimaan masyarakat terhadapnya.
"Siti tidak mempunyai kelulusan yang tinggi, bukan dari golongan berada tetapi beliau adalah manusia berbakat, naik dari bawah, dan bakatnya adalah nilai-nilai yang ada pada orang Melayu.
"Ini dilihat seolaholah sebagai kemenangan kepada 'masses'. Beliau telah berjaya meletakkan nilai-nilai Melayu pada tempat yang sepatutnya, seterusnya menjadi ikon Malaysia yang mengecapi kejayaan secara bersih," katanya.Dr Asiah juga tidak menolak "kontroversi Datuk K" sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kenapa perkahwinan pasangan itu dinanti-nantikan oleh segenap masyarakat negara ini.
Mengenai reaksi negatif yang diterima artis itu kerana memilih Datuk K sebagai suaminya, Dr Asiah berkata semua pihak berhak memberikan pandangan tetapi Siti harus bersedia dengan reaksi masyarakat terhadap keputusannya itu.
"Ini sifat ingin tahu semula jadi, sama ada impaknya positif atau negatif, mereka ingin melihatnya, sebab orang ramai macam 'penjaga' kepada Siti. Mereka mahukan beliau gembira. Siti mendapati Datuk K adalah lelaki ideal yang diingininya dan audiens membenarkannya kerana mereka menyayangi beliau," katanya.
Isu perkahwinan Siti-Datuk K bukan sahaja mendapat perhatian daripada rakyat negara ini tetapi turut menjadi topik perbualan para peminatnya di negara-negara lain terutamanya Indonesia.
Malah stesen TV Indonesia, Trans TV, turut menerbitkan beberapa program khas yang didedikasikan kepada penyanyi itu yang dianggap setaraf dengan diva popular Indonesia seperti Kris Dayanti dan Melly Goeslaw. Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad Datuk Farid Ridzuan sebelum ini berkata pasangan itu telah memilih TV3 berdasarkan kepada liputan meluas mereka di rantau ini yang turut disokong oleh rangkaian-rangkaian lain di bawah naungan konglomerat media terbesar di Malaysia itu.
Sumber dalaman TV3 memberitahu sejumlah 50 krew terlibat bagi majlis akad nikah di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 21 Ogos nanti dan 80 krew pula akan terbabit bagi majlis persandingan di KLCC pada 28 Ogos.
Namun bagi Dr Asiah, TV3 sebenarnya sedar akan potensi Siti sebagai satu nama gah yang mampu menarik audiens dalam jumlah yang besar dan seterusnya akan memberikan keuntungan kepada stesen TV itu melalui kemasukan iklan TV.
"Mereka tahu sekiranya disiarkan secara langsung audiens yang akan menonton adalah audiens yang besar dan pihak korporat ini sememangnya mahukan perhatian daripada audiens," katanya.
Bagaimanapun, Dr Asiah berkata TV3 seharusnya meneliti format dan konsep siaran langsung perkahwinan itu supaya liputannya tidak akan menimbulkan reaksi negatif atau pandangan taksub keterlaluan masyarakat terhadap Siti.
Sebaliknya, perkahwinan pasangan itu harus digambarkan sebagai menyuburkan kembali institusi perkahwinan yang murni di kalangan generasi muda negara ini."Dengan itu Siti akan tetap disegani dan disayangi ramai," katanya. BERNAMA

Guna jurunikah berpengalaman

Oleh Mohd Razlan Salleh (hmetro.com.my)
KUALA LUMPUR: Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Nasroddin Mat Daud, diberikan tugasan besar apabila ditugaskan mengijabkabulkan Datuk Khalid Mohamad Jiwa dengan Siti Nurhaliza, Isnin ini.Pemilihan beliau berdasarkan pengalaman luas dimilikinya sebagai jurunikah selama lebih tujuh tahun dan pernah melaksanakan ‘misi’ penting termasuk menikahkan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dengan bekas wartawan TV3, Azrinaz Mazhar Hakim pada Ogos tahun lalu.Sumber memberitahu Harian Metro, jurunikah berusia 52 tahun dan dari Kelantan itu dipilih memikul tanggungjawab menikahkan Khalid atau Datuk K, 47, dengan Siti Nurhaliza, 27, berikutan sudah biasa mengahwinkan pasangan kenamaan (VIP). “Mungkin disebabkan pengalaman dimilikinya dan dianggap pegawai yang senior, dia dilihat antara jurunikah paling layak memikul tugas ini kerana mampu menyerap tekanan daripada media dan orang ramai pada hari pernikahan Datuk K dan Siti nanti,” katanya.Harian Metro juga difahamkan, pada hari pernikahannya yang dijangka disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, Siti Nurhaliza bakal menerima hantaran RM30,000 manakala mas kahwinnya RM22,222.22.Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, ketika dihubungi enggan mengesah atau menafikan pemilihan Nasroddin sebagai jurunikah yang bakal mengijabkabulkan Datuk K dan Siti Nurhaliza, nanti.Beliau yang dihubungi di Thailand, petang semalam sebaliknya berkata, pihaknya belum memutuskan siapa jurunikah yang akan memikul tanggungjawab itu kerana individu yang bakal ditugaskan bukan menikahkan pasangan biasa tetapi selebriti terkenal.Katanya, sudah tentu hal demikian akan membuatkan jurunikah itu mungkin cepat panik atau gemuruh kerana upacara pernikahan turut dihadiri ramai petugas media dan jemputan khas.Disebabkan itu, Che Mat berkata, siapa jurunikah yang ditugaskan menikahkan pasangan popular berkenaan hanya akan diumumkannya beberapa jam sebelum majlis pernikahan berlangsung.“Setakat ini saya belum pilih siapa orangnya, tapi yang pasti bukan saya. Apapun, saya akan maklumkan pada jam 10 pagi Isnin ini.“Maaf, saya tidak boleh beritahu sekarang kerana keputusan ini mungkin boleh berubah mengikut keadaan. Jawi ada berpuluh-puluh jurunikah. Kita tengok siapa yang kena (ditugaskan),” katanya yang berada di sebuah pusat peranginan kerana bercuti bersama keluarga.
Panduan & Direktori Perkahwinan - http://www.syokkahwin.com
Rita nafi teman lelaki jadi punca (hmetro.com.my)
Oleh Rudy Imran Shamsudin dan Mohamad Hussin

KUALA LUMPUR: Dramatis popular Rita Rudaini, menafikan soal teman lelaki menjadi punca perselisihan faham antara dia dengan Lis Dawati dan sekali lagi menegaskan dia tidak pernah berniat mencederakan pelakon itu.Sewaktu dihubungi bagi mendapatkan reaksi mengenai kenyataan pelakon utama filem KL Menjerit itu, Rita berkata, dia terkejut apabila mengetahui Lis Dawati membuat laporan polis dan mengada-adakan cerita.“Andai benar dia berkata saya mencederakannya hanya semata-mata dengki akan hubungan cintanya dengan Fauzi Nawawi (pelakon drama), itu tidak benar sama sekali.“Saya dan Fauzi hanyalah rakan sesama artis dan tidak pernah terfikir pun untuk menjalin hubungan cinta.“Kenyataan saya ini mungkin akan mengguris perasaan Fauzi tetapi inilah kebenarannya, cita rasa saya membabitkan teman lelaki tidak serendah pilihannya jadi tiada sebab untuk saya mencederakannya atas alasan cemburu,” katanya.Rita juga hairan bagaimana seorang pelakon boleh membuat laporan polis hanya kerana dia dipukul sewaktu berlakon sedangkan dalam skrip memang sudah ditulis akan ada insiden pergaduhan.“Saya benar-benar sedih dan kecewa apabila Lis Dawati membuat laporan polis dengan mengatakan saya memukulnya. “Tapi adakah dalam laporan itu menyebut saya membantu menyelamatkannya daripada terus lemas dalam kolam sedalam 10 kaki dengan berjaya menariknya ke tepi.“Mungkin dalam usaha menyelamatkan dirinya itu, Lis Dawati tersalah sangka dengan menganggap saya mahu membenamnya. “Tidak mengapalah sudah menjadi sifat manusia hanya buruk orang saja yang mahu dihebohkan. Bukan hendak ucap terima kasih sebaliknya najis yang dilemparkan,” katanya.

Artis Berkelahi...


Edisi KL: 'Dia tampar betul-betul' Oleh Hartati Hassan Basri dan Ramlah
KUALA LUMPUR: "Dia (Rita Rudaini) dengan sengaja menampar pipi saya betul-betul sehingga mata kiri saya sakit dan lebam sedangkan kami hanya menjayakan satu babak dalam lakonan."Lebih teruk lagi, ketika babak bergaduh dalam kolam renang dia juga menarik rambut dan merejam kepala saya ke dalam air hingga tengkuk saya bengkak dan sakit," kata pelakon Lis Dawati menceritakan insiden perkelahiannya dengan Rita Rudaini ketika penggambaran drama bersiri 'Kau Yang Ku Sayang' di sebuah hotel di Pulau Pinang, Selasa lalu.Lis mendakwa, sebelum babak pergaduhan antara Lia, watak Rita dengan Linda (lakonannya) bermula, dia sudah memberi amaran kepada penolong pengarah dia tidak ingin ditampar betul-betul dan berharapkan mereka beritahu Rita. Sambil menunjukkan kesan lebam di mata kiri yang dakwanya ditampar Rita, Lis yang pernah dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2005 menerusi drama Miftahul Jamilah, mendakwa Rita memang berniat mencederakannya ketika berlakon dalam drama arahan Rasyid Sibir itu.Ketika berkunjung ke pejabat Harian Metro di sini, semalam, Lis atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 28, berkata kejadian berlaku ketika dia menjayakan babak pergaduhan dalam episod ke-19 drama bersiri 26 episod itu antara jam 4 hingga 6 petang.Menurut Lis, babak pergaduhan itu tiada dalam skrip asal."Apabila saya berada di Pulau Pinang untuk menjayakan drama ini, baru pengarah beritahu mengenai babak pergaduhan antara Lia dan Linda itu."Sebelum babak ini bermula, saya bertanya dia (Rita) sama ada dia akan tampar saya dengan tangan kanan atau kiri, tapi dia enggan beritahu."Saya akui menggigil apabila mula buat babak ini dengannya. Bila babak pergaduhan bermula, dia (Rita) terus tampar saya dengan kuat dan saya cuba elak tapi kena pipi."Dia terus tolak bahu saya menyebabkan berlaku babak tolak-menolak dan dia kemudian tarik rambut serta rejam saya dalam air. Sepatutnya, watak Linda yang menyerang Lia dan bukan sebaliknya. "Ketika babak pergelutan dalam kolam, saya tidak sedar dia terus memukul saya dengan niat mencederakan saya. Bila saya mengadu kepada pengarah, Rita pula sebaliknya memberitahu produksi, badannya termasuk tengkuk dan lengannya pula calar-calar," katanya.Lis mendakwa, dia yakin Rita memang ada niat hendak memukul dan mencederakannya dengan menggunakan peluang menerusi babak pergaduhan berkenaan.Selepas mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dia membuat laporan di Pondok Polis HKL, 16 Ogos lalu.Selain Rita dan Lis Dawati, drama ini dijayakan pelakon Fahrin Ahmad dan Zed Zaidi.