Friday, December 26, 2008

Calon Timbalan Presiden akur larangan berkempen

KUALA LUMPUR 25 Dis. – Tiga calon Timbalan Presiden UMNO akur dengan amaran keras Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak dijadikan medan berkempen bagi merebut jawatan dalam parti.

Sehubungan itu, mereka meminta kerjasama calon-calon bagi jawatan lain pada pemilihan UMNO Mac depan supaya turut menghayati amaran tersebut.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain calon-calon yang bertanding, para penyokong mereka yang berada di Kuala Terengganu kelak juga tidak sepatutnya berkempen.

Katanya, semua pihak perlu sedar bahawa apa yang lebih penting sepanjang tempoh kempen pilihan raya itu ialah kemenangan untuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Saya akur dan bersetuju dengan arahan Presiden agar pilihan raya kecil di Kuala Terengganu yang amat signifikan tidak dijadikan medan kempen pemilihan parti kerana tentunya yang lebih penting ialah kemenangan BN.

“Para penyokong calon juga tidak sepatutnya berkempen kerana mereka juga tidak terkecuali daripada tanggungjawab itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

No comments: