BEKAS penyanyi kumpulan Elite, Linda Rafar kini sedang hamil tiga bulan hasil perkahwinan keduanya dengan aktor Syed Kamaruzaman Syed Mahmud atau lebih dikenali dengan Syed Aiman pada 2 Disember 2006.
Sebelum ini pemilik nama Azlinda Abdul Rafar ini pernah bernikah dengan pelumba kereta Keifli dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Rezaril dan Rezaimen.
Sementara Aiman juga pernah berumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan tunggal yang berada di bawah jagaan bekas isterinya.
Pasangan bahagia Aiman-Linda bakal dikurniakan anak bulan Ogos ini..(Foto The Star) |
"Saya dah scan tapi belum jelas menunjukkan sama ada lelaki atau perempuan. Tapi jika perempuan, saya akan 'tutup buku' selepas ini," katanya sambil tersenyum di sisi suami tersayang.
Berdasarkan kenyataan Linda, beliau seperti tidak mahu mengandung lagi sekiranya anak yang dilahirkan adalah perempuan tetapi mungkin hanyalah gurauan semata-mata dan siapalah mereka untuk menolak rezeki.
Pertama kali berhadapan dengan Linda yang sedang hamil, Aiman mengatakan "Dia tak banyak kerenah sangat dan memahami saya.
"Saya pula cuba memberikan kasih sayang sepenuhnya dan menjaga pantang larangnya. Saya juga cuba mengambil tahu tentang apa yang beliau suka dan sebaliknya.
"Keadaannya tak banyak berubah macam sebelum mengandung kerana tiada alahan cuma kadang kala manja sedikit.
"Dia juga boleh tak ingat dan perasan sedang mengandung. Makanan pula lebih suka yang masam-masam.
"Kami dah mula merancang untuk menetapkan tempat bayi akan dilahirkan serta membeli sedikit barang keperluan bayi."
Bercerita tentang anak, difahamkan Aiman baru selesai berlakon telefilem yang berkaitan tentang anak.
Telefilem Doa Kamalia diarahkan oleh pelakon Fauzi Nawawi terbitan Multilift Film Productions Sdn. Bhd. untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Selain Aiman yang melakonkan watak Izwan, tunggak utama telefilem tersebut adalah Sazzy Falak (Kamalia), Fauzi Nawawi (Farid), Julia Hana (Rozita), Aripah Damanhuri (Zaiton), Kuney Ramlah) dan Mila Normila (Laily).
Doa Kamalia mengisahkan sebuah pergolakan hidup suami isteri iaitu Izwan dan Kamalia yang sudah 11 tahun berkahwin tapi masih belum dikurniakan cahaya mata.
Zaiton, ibu Izwan sering menyindir Kamalia kerana masih lagi belum ada tanda-tanda kehamilan sehinggalah Zaiton mencadangkan kepada Izwan untuk berkahwin lagi.
Pada suatu hari, Kamalia tiba-tiba disahkan mengandung. Berita ini disambut gembira oleh Izwan namun terpaksa memilih antara nyawa bayi atau Kamalia apabila doktor mengesahkan kandungannya lemah dan terdapat risiko pendarahan yang membawa maut.
Ditebak kepada Aiman tentang pengalaman pertama berlakon dengan Fauzi dan Sazzy, beliau selesa dengan mereka berdua dan selalu bertukar pendapat untuk menghasilkan sesuatu yang bagus.
"Apabila babak sedih, saya kena reka sesuatu yang memberikan perasaan sedih. Mungkin hari pertama saya kurang menghayati lagi tetapi lama-kelaman saya dapat buat.
"Sebagai pengarah, Fauzi tak paksa saya untuk terlalu mengikut arahannya kerana beliau memberi kelonggaran kepada kami untuk membawa watak mengikut keselesaan," cerita Aiman.
Manakala Linda pula telah menghabiskan masa cuti bersama dua orang anaknya sambil berlakon di Melaka dalam telefilem Aku, Irsyad dan Syamir yang turut menggandingkan kedua-dua heronya itu.
No comments:
Post a Comment