Saturday, August 19, 2006


Guna jurunikah berpengalaman

Oleh Mohd Razlan Salleh (hmetro.com.my)
KUALA LUMPUR: Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Nasroddin Mat Daud, diberikan tugasan besar apabila ditugaskan mengijabkabulkan Datuk Khalid Mohamad Jiwa dengan Siti Nurhaliza, Isnin ini.Pemilihan beliau berdasarkan pengalaman luas dimilikinya sebagai jurunikah selama lebih tujuh tahun dan pernah melaksanakan ‘misi’ penting termasuk menikahkan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dengan bekas wartawan TV3, Azrinaz Mazhar Hakim pada Ogos tahun lalu.Sumber memberitahu Harian Metro, jurunikah berusia 52 tahun dan dari Kelantan itu dipilih memikul tanggungjawab menikahkan Khalid atau Datuk K, 47, dengan Siti Nurhaliza, 27, berikutan sudah biasa mengahwinkan pasangan kenamaan (VIP). “Mungkin disebabkan pengalaman dimilikinya dan dianggap pegawai yang senior, dia dilihat antara jurunikah paling layak memikul tugas ini kerana mampu menyerap tekanan daripada media dan orang ramai pada hari pernikahan Datuk K dan Siti nanti,” katanya.Harian Metro juga difahamkan, pada hari pernikahannya yang dijangka disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, Siti Nurhaliza bakal menerima hantaran RM30,000 manakala mas kahwinnya RM22,222.22.Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, ketika dihubungi enggan mengesah atau menafikan pemilihan Nasroddin sebagai jurunikah yang bakal mengijabkabulkan Datuk K dan Siti Nurhaliza, nanti.Beliau yang dihubungi di Thailand, petang semalam sebaliknya berkata, pihaknya belum memutuskan siapa jurunikah yang akan memikul tanggungjawab itu kerana individu yang bakal ditugaskan bukan menikahkan pasangan biasa tetapi selebriti terkenal.Katanya, sudah tentu hal demikian akan membuatkan jurunikah itu mungkin cepat panik atau gemuruh kerana upacara pernikahan turut dihadiri ramai petugas media dan jemputan khas.Disebabkan itu, Che Mat berkata, siapa jurunikah yang ditugaskan menikahkan pasangan popular berkenaan hanya akan diumumkannya beberapa jam sebelum majlis pernikahan berlangsung.“Setakat ini saya belum pilih siapa orangnya, tapi yang pasti bukan saya. Apapun, saya akan maklumkan pada jam 10 pagi Isnin ini.“Maaf, saya tidak boleh beritahu sekarang kerana keputusan ini mungkin boleh berubah mengikut keadaan. Jawi ada berpuluh-puluh jurunikah. Kita tengok siapa yang kena (ditugaskan),” katanya yang berada di sebuah pusat peranginan kerana bercuti bersama keluarga.
Panduan & Direktori Perkahwinan - http://www.syokkahwin.com

No comments: